Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi: Pengerusi Kesatuan Ulama Dunia



Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dilahirkan dan dibesarkan di Mesir. Beliau mula menghafaz Al-Quran sebelum berumur 10 tahun. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi menamatkan pengajian di Universiti Azhar As-Syarif.

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi mendapat sijil tinggi dalam bidang usuluddin pada tahun 1953 dan ijazah perguruan pada tahun 1954. Beliau berada di kedudukan pertama dalam kedua-dua bidang pengajian itu.Seterusnya, beliau mendapat gelaran doktor darjah pertama di Azhar As-Syarif pada tahun 1973.

Selepas menjadi graduan Al-Azhar, beliau bekerja di Pejabat Urusan Agama di Kementerian Auquf dan Jabatan Pengetahuan Islam di Al-Azhar.Kemudian beliau dihantar ke Qatar sebagai guru besar di Institusi Agama Qatar.

Selain itu, Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dilantik sebagai Pengarah Lembaga Bahagian Pengajian Islam di Kuliah Pendidikan, menjadi Dekan Kuliah Syariah dan Pengajian Islam,serta dilantik sebagai Ketua Pusat Pengkajian As-Sunnah dan Sirah. Beliau diamanahkan sebagai pengasas pusat itu dan masih bertugas sehingga hari ini.

Sumbangan beliau begitu banyak dengan kelebihan yang ada dalam dirinya. Beliau seorang pemidato berpengaruh. Kata-kata Syeikh Yusuf mudah diterima akal dan mampu menggetarkan hati para pendengar. Beliau mampu menggabungkan ilmu teori dan praktikal. Beliau juga seorang penyair dan syairnya didendangkan di Timur dan Barat.

Beliau sudah menulis lebih daripada 50 buah kitab. Umumnya,penulisan beliau diterima secara meluas di seluruh dunia Islam. Sebahagian daripada penulisan beliau dicetak sebanyak berpuluh-puluh kali. Sebahagian besar daripada buku beliau diterjemahkan ke bahasa negara-negara Islam dan bahasa antarabangsa.

Beliau adalah seorang pendakwah terkenal dan bersifat sederhana dalam memberi pandangan. Beliau menghimpunkan pandangan ulama salaf dan ulama moden serta menggabungkan antara fikrah dan gerakan. Syeikh Yusuf juga berfokus kepada Fiqh As-Sunnah, Fiqh Al-Maqasid, Fiqh Al-Aulawiyyat, mengimbangkan antara prinsip yang tertentu oleh Islam dan perubahan semasa.