Khawlah al-azwar: lembutmu bukan halangan
Kilatan demi kilatan pedang tangkas menghunus. Perang semakin
sengit. Tentera Muslim berhadapan dengan tentera Rom yang ramai.
Perindu-perindu syahid keletihan. Saat melamar bidadari syurga terasa kian
hampir. Biar syahid, mengalah tidak sekali. Keduk..keduk…keduk… Seekor kuda
perang meluncur gagah. Penunggangnya, wajah terlitup kain. Berani. Debu-debu
Sahrawi bertebangan. Mata-mata terbeliak kagum. Teruja. Amuk si pewira mengayun
tombak dengan garang. Musuh-musuh ALLAH jatuh. ALLAHU AKBAR! Semangat tentera
Muslim menggelegar di udara. Musuh berasa gerun. “Adakah itu Khalid bin
al-Walid?” Musuh tertanya-tanya. Sememangnya nama besar Khalid bin al-Walid
cukup menggetarkan mereka. Salah seorang ketua skuad Islam, Raafe bin Umaira
berbisik kagum, “Beliau bertempur sperti Khalid, tapi saya yakin beliau bukan
Khalid.” Tersingkap tabir wajah,
nyatalah si perwira itu bukan seorang lelaki berhati waja sebaliknya seorang
srikandi yang perkasa. Tatkala mengetahui tentera yang sedang
mengucar-ngacirkan musuh itu adalah Khawlah al- Azwar, Khalid bin Al-Walid
hampir terjatuh daripada kudanya. Takjub .
Membebaskan abang tersayang
Khawlah al-Azwar terdorong menggempur musuh, mencari syahid
dalam peperangan itu sebaik sahaja telinganya menangkap berita, abangnya Zirar
al-Azwar telah ditawan. Sangkar besi milik tentera Rom yang penuh dengan
penyeksaan membuatkan Khawlah al-Azwar tidak mampu lagi berdiam diri, lantas
membuat pembelaan. Beliau asyik membayangkan betapa deritanya si abang melalui
saat-saat ngeri di balik jeriji-jeriji besi.
Peperangan beransur reda apabila barisan pertahanan musuh
berjaya dipecahkan. Khawlah al-Azwar tidak sabar-sabar menanti operasi
seterusnya. Abangnya mesti dibebaskan. Tentera Muslimin mengatur operasi
serangan seterusnya di Beit Lahiya, Gaza,Palestin. Di situlah Zirar al-Azwar
dipercayai terpenjara. Khawlah al-Azwar menghunus pedang, menyertai perang.
Akhirnya, di situ abangnya yang tersayang berjaya dibebaskan.
Mahir berkuda dan bersenjata
Khawlah al-Azwar, nama seindah identity. Dibesarkan pada zaman Islam sering diancam peperangan. Ayahnya memperlengkapkan didikannya dengan ilmu mempertahankan diri. Sejak kecil, dia diasuh menunggang kuda dan bermain pedang. Segala teknik dan kemahiran diperturunkan. Maka mekarlah mawar agama itu sebagai seorang srikandi yang perkasa. Mahir berkuda dan bersenjata.
Dalam perang Yarmouk, beliau cukup berwibawa memipin dan
memelihara kaum wanita yang ikut serta dalam peperangan itu. Tidak lengkap
pasukan tentera Islam tanpa kaum wanita sebagai sayap kiri perjuangan.
Keberanian Khawlah al-Azwar terserlah sehingga kepalanya cedera mengalirkan
darah. Pengorbanannya tidak sia-sia. Panji kemenangan Muslim berkibar dalam
peperangan itu hingga membawa kepada pembukaan Syam. Bandar Damsyik bercayaha
dengan sinar baru.
Membuka kurungan
Dalam peperangan Sahura, Khawlahndan beberapa mujahidah
Muslimah tertawan. Ah, tiada episode kekalahanan. Lawan tetap lawan. Mungkin
begitu jeritan batin Khawla. Beliau tidak mahu hanya menanti bantuan tanpa
berusaha melakukan tindakan. Tertendang-tendang hatinya menyuruh berlawan.
Pengawal-pengawal yang mengurung mereka Nampak gagah perkasa. Sekali pandang,
untuk menemui kebebasan memang mustahil. Dia mungkin tidak berupaya jika
melawan secara keseorangan. Lalu, dia berpidato untuk membakar semangat
teman-teman.
“Wahai sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di jalan
ALLAH, apakah saudari semua sanggup menjadi tukang-tukang picit orang Rom?
Apakah saudari-saudari sanggup menjadi hamba orang kafir yang dilaknati? Adakah
rela saudari dicaci maki oleh bangsa Rom yang durjana? Di manakah letaknya
kehormatan saudari sebagai seorang Muslimah yangbertaqwa? Sesungguhnya mati itu lebih baik bagi kita
daripada menjadi hamba-hamba orang Rom.
Sebelum memulakan misi serangan ke atas pengawal-pengawal
yang garang itu, mereka berdoa, bertaubat dan bermunajat sesungguh dan seikhlas
hati kerana selepas ini kemungkinan mereka akan dibantu ALLAH SWT atau dibawa
kembali selamanya kepada ALLAH. Menag atau syahid, mengalah tidak sekali!
Khawlah al-Azwar berpidato lagi, “Jangan sekali-kali saudari
gentar dan takut. Kita semua harus bersatu dalam perjuangan dan jangan ada yang
terkecuali. Patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, perbanyakkan
takbir serta kuatkan hati. Insya ALLAH
pertolongan ALLAH sudah dekat.” ALLAHU AKBAR! Pasukan Muslimah itu
bertempur dengan pengawal-pengawal durjana dan akhirnya mereka berjaya
menumpaskan mereka. Lantas , mereka lari membebaskan diri daripada kurungan
untuk terus berjihad, bergabung dengan tentera Muslimin. Begitulah kentalnya
episode hidup Khawlah al-Azwar yang terakam unggul dalam Maghazi Rasulillah hasil kompilasi Muhammad bin Umar al-Waqidi
al-Aslami. Hari ini, Islam sering terancam. Adakah mungkin akan lahir lagi jiwa
srikandi seperti Khawlah al-Azwar pada abad ini?
Mekarlah Mawar Agama itu sebagai seorang srikandi yang perkasa.