Pembukaan Kota Mekah
bermaksud pembebasan Kota Mekah daripada
pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliyah. Sebelum Mekah dikuasai oleh
Islam, ia berfungsi sebagai pusat penyembahan berhala dan lain-lain amalan
tradisi masyarakat Arab jahiliyah.
Pembukaan kota Makkah merupakan antara
peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan, tahun ke-8
hijrah. Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam
peribadatan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletak kiblat orang
Islam, Kaabah. Makkah menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia sepanjang tahun
untuk melakukan umrah dan menyempurnakan Rukun Islam yang ke-5 iaitu menunaikan
Haji.
Sempena pembukaan Makkah, Allah SWT
menjelaskan peristiwa atau kejayaan itu sebagai tanda kemenangan yang lebih
gemilang bakal diraih nanti.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi
perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.
Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salahmu yang lalu dan yang
terkemudian dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu serta menambahkanmu hidayah
ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan
dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan
sepenuh-penuhnya dan sehebat pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah
al-Fath, ayat 1-3)
Peristiwa pembukaan Kota Mekah berlaku
apabila Bani Bakar dalam naungan Quraisy menyerang Bani Khuzaah dalam naungan
Islam pimpinan Rasulullah SAW. Serangan Bani Bakar dibantu pihak kafir Quraisy
yang memberi bantuan senjata dan ketenteraan kepada Bani Bakar. Tindakan
Quraisy itu ternyata melanggar antara kandungan persetujuan Perjanjian
Hudaibiyah yang ditangani antara Kaum Muslim dengan Kafir Quraisy pada tahun
ke-6 Hijrah. Serangan itu menyebabkan hampir 20 orang daripada Bani Khuzaah
terbunuh. Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuzaah bergegas ke
Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah SAW.
Selain daripada mengajukan 3 tuntutan
kepada Musyrikin Mekah, Rasulullah SAW juga telah menyusun strategi secara
sulit untuk mengelakkan pertumpahan darah yang dinamakan sebagai Fathu Makkah. Setelah
Musyrikin Quraisy memilih untuk berperang menentang tentera Islam, Rasulullah
SAW mengarahkan 10,000 tentera berangkat ke Mekah. Mereka bermalam di Murruz
az-Zahran dan menyalakan unggun api di khemah masing-masing untuk menimbulkan
rasa gerun pihak musuh.
Untuk memasuki kota Makkah Rasulullah S.A.W memerintahkan tentera Islam supaya
berpecah kepada empat kumpulan dan memasuki Makkah melalui empat penjuru.
Mereka juga diminta supaya tidak melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali
apabila terpaksa. Namun, pertempuran hanya berlaku di selatan Makkah dan telah
mengorbankan dua orang tentera Islam dan tiga belas orang masyarakat Quraisy.
Empat pasukan
tentera Islam tersebut ialah:
a.
Pasukan tentera yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W
b.
Pasukan tentera yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid
c.
Pasukan tentera yang dipimpin oleh Zubair b Awwam
d.
Pasukan tentera yang dipimpin oleh Qais bin Saad bin Ubadah
Abu Sufian dan al-Abbas kemudiannya
berjumpa Rasulullah SAW dan memeluk Islam. Pagi Jumaat, 10 Ramadhan tahun ke-8
Hijrah, Rasulullah SAW masuk ke Kota Mekah dengan penuh kesyukuran di atas
kemenangan yang dikecapi dan Rasulullah SAW mengumumkan tawaran keselamatan.
Tentera Islam tidak menghadapi tentangan kecuali daripada tentera Khalid bin
Al-Walid yang diserang oleh tentera pimpinan Akramah bin Abu Jahal.
Ketika bala tentera Islam yang diketuai oleh Nabi
Muhammad S.A.W memasuki kota Makkah, ramai dikalangan kaum Kafir Quraisy merasa
cemas dan takut termasuklah Abu Sufyan. Dengan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W,
Baginda telah menjamin keselamatan penduduk Kota Makkah pada masa itu dengan 3
syarat iaitu sesiapa yang memasuki 3 tempat, maka mereka akan selamat iaitu:
1. Memasuki rumah Abu Sufyan;
2. Memasuki Masjidil Haram; dan
3. Mengunci dan duduk diam dirumah masing-masing
Sebaik memasuki Kota Makkah, baginda
menghancurkan kesemua 360 berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol
berakhirnya penyembahan berhala di Makkah. Rasulullah SAW juga melakukan tawaf
di Kaabah dan telah pergi ke makam Nabi Ibrahim lalu menunaikan solat sunat.
Selesai solat baginda menyuruh Bilal bin Rabah melaungkan azan di bumbung
Kaabah. Selain itu, Rasulullah SAW memberi pengampunan kepada bekas-belas
musuhnya. Kemuliaan pekerti Rasulullah menyebabkan ramai penduduk Mekah memeluk
Islam.
Hasil pembukaan Kota Makkah, Islam boleh
disebarkan ke seluruh tanah Arab. Bahkan ramai musyrikin Mekah telah memeluk
agama Islam. Tanah Haram Mekah menjadi kawasan larangan kepada orang bukan
Islam dan orang Islam dapat menunaikan ibadat tanpa gangguan orang kafir.
Penduduk Mekah juga hidup dalam keadaan aman dan saling bekerjasama.
sumber rujukan
sumber rujukan
LUJNAH PENERBITAN DAN INFORMASI
KEMPEN: AKU CINTA MUHAMMAD SAW
#KACM
6 Komen:
Assalamualaikum.
Sekadar cadangan, mungkin boleh detailkan lagi artikel ni contoh dekat bahagian 3 tuntutan yang rasulullah saw kepada Musyrikin mekah
terima kasih kongsi ea
Kenapa dan apa tujuan tentera muslim pergi ke thaif selepas itu.
terima kasih kerana telah membantu saya untuk menyiapkan projek celek sirah sbpi* pada waktu last minit
Boleh saya tanya siapa panglima yang dilantik oleh rasullah semasa pembukaan kota mekah
Siapa panglima yang di lantik dalam peristiwa pembukaan kota mekah?
Post a Comment