Peluang dakwah dalam kewangan islam


Islam adalah satu-satunya agama yang syumul meliputi segenap aspek kehidupan manusia. Kehebatan Islam sebagai suatu cara hidup manusia berbanding ajaran agama-agama lain boleh dilihat melalui perjalanan hidup sirah Nabi Muhammad SAW sebagai suri tauladan ummah. Sirah Rasullullah SAW kerapkali menceritakan bagaimana Baginda berdakwah melalui akhlak ketika bermuamalat atau berniaga. Kesyumulan Islam boleh dilihat melalui perkembangan industri kewangan Islam pada masa kini.

Berkembangnya industri kewangan Islam secara tidak langsung membuka lembaran medan dakwah yang terbaharu. Umat Islam seharusnya mengambil peluang ini menyampaikan mesej-mesej dakwah mempromosikan kewangan Islam sebagai suatu agenda transformasi kepada suatu sistem muamalat yang diredhai Allah SWT.

Allah SWT  menjelaskan dalam surah al-An’aam, ayat 46, maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan ia pula memeteraikan atas hati kamu? siapakah Tuhan selain Allah Yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?" lihatlah Bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), Dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling - ingkar.

Di sinilah letaknya beban tugas para daie untuk menjelaskan lagi ciptaan-ciptaan Allah melalui sistem muamalat Islam kepada umat manusia. Sekiranya kita amati sistem muamalat Islam ini, kita mendapati beberapa prinsip-prinsip nilai yang menjadi gagasan tunjang kepada sistem ekonomi Islam. Antara prinsip-prinsipnya ialah:

1. Prinsip kebebasan iaitu kebebasan menggerakkan sistem ekonomi mengikut acuan Allah SWT
2. Prinsip keadilan iaitu memelihara hak-hak individu yang berkontrak atau berniaga agar tidak berlaku kezaliman
3. Prinsip ihsan iaitu jujur dan berasa bertanggungjawab setiap akad atau kontrak yang dilakukan diperhatikan oleh Allah SWT

Sistem ekonomi rekaan manusia yang bertuhankan nafsu seperti Kapitalisme, Sosialisme, Komunisme dan Fasisme tidak mengutamakan prinsip-prinsip ini. Seharusnya para daie boleh berkongsi nilai-nilai muamalat Islam ini sesama manusia lain dan diterjemahkan melalui cara perniagaan dan pergaulan. Inilah salah satu cara dakwah bil hal yang ditunjukan oleh Rasullullah SAW ketika Baginda menjalankan perniagaan di Syam sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul.

Meskipun ilmu muamalat ini terbuka dan tidak menghalang golongan bukan Islam bercakap mengenainya, namun begitu sayangnya sekiranya ilmu ini tidak dikuasai sepenuhnya oleh umat Islam sendiri. Di sinilah juga letaknya peranan daie agar bertanggungjawab mendalami ilmu-ilmu muamalat. Menyampaikan ilmu kerana keimanan adalah tidak sama nilainya dengan menyampaikan ilmu kerana untuk memberi kefahaman semata-mata.

Di samping itu, tanggungjawab untuk menuntut dan menyampaikan ilmu muamalat juga menjadi semakin mustahak apabila Saidina Umar pernah suatu ketika memberi amaran kepada peniaga sebagaimana berikut:

لا بيع فى سوقنا إلا من قد تفقه فى الدين                                                                                                                  
Maksudnya:
Jangan kamu berjual beli di pasar kami kecuali telah mendalami ilmu/hukum agama tentangnya. (Riwayat Tirmidzi)

"Doing business is not about making money, it is about making change to the world"

Sumber dari :

Oleh:   Mohamad Kamil bin Abu Talib
Penolong Pengarah
Cawangan Muamalat dan Sosio Ekonomi (CMSE)
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM