Pembukaan Kota Mekah bermaksud pembebasan Kota Mekah daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliyah. Sebelum Mekah dikuasai oleh Islam, ia berfungsi sebagai pusat penyembahan berhala dan lain-lain amalan tradisi masyarakat Arab jahiliyah.

    Pembukaan kota Makkah merupakan antara peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan, tahun ke-8 hijrah. Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam peribadatan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletak kiblat orang Islam, Kaabah. Makkah menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia sepanjang tahun untuk melakukan umrah dan menyempurnakan Rukun Islam yang ke-5 iaitu menunaikan Haji.

    Sempena pembukaan Makkah, Allah SWT menjelaskan peristiwa atau kejayaan itu sebagai tanda kemenangan yang lebih gemilang bakal diraih nanti.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salahmu yang lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehebat pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah al-Fath, ayat 1-3)

    Peristiwa pembukaan Kota Mekah berlaku apabila Bani Bakar dalam naungan Quraisy menyerang Bani Khuzaah dalam naungan Islam pimpinan Rasulullah SAW. Serangan Bani Bakar dibantu pihak kafir Quraisy yang memberi bantuan senjata dan ketenteraan kepada Bani Bakar. Tindakan Quraisy itu ternyata melanggar antara kandungan persetujuan Perjanjian Hudaibiyah yang ditangani antara Kaum Muslim dengan Kafir Quraisy pada tahun ke-6 Hijrah. Serangan itu menyebabkan hampir 20 orang daripada Bani Khuzaah terbunuh. Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuzaah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah SAW.

    Selain daripada mengajukan 3 tuntutan kepada Musyrikin Mekah, Rasulullah SAW juga telah menyusun strategi secara sulit untuk mengelakkan pertumpahan darah yang dinamakan sebagai Fathu Makkah. Setelah Musyrikin Quraisy memilih untuk berperang menentang tentera Islam, Rasulullah SAW mengarahkan 10,000 tentera berangkat ke Mekah. Mereka bermalam di Murruz az-Zahran dan menyalakan unggun api di khemah masing-masing untuk menimbulkan rasa gerun pihak musuh.

Untuk memasuki kota Makkah Rasulullah S.A.W memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat kumpulan dan memasuki Makkah melalui empat penjuru. Mereka juga diminta supaya tidak melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali apabila terpaksa. Namun, pertempuran hanya berlaku di selatan Makkah dan telah mengorbankan dua orang tentera Islam dan tiga belas orang masyarakat Quraisy.
Empat pasukan tentera Islam tersebut ialah:

a.    Pasukan tentera yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W
b.    Pasukan tentera yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid
c.    Pasukan tentera yang dipimpin oleh Zubair b Awwam
d.    Pasukan tentera yang dipimpin oleh Qais bin Saad bin Ubadah

    Abu Sufian dan al-Abbas kemudiannya berjumpa Rasulullah SAW dan memeluk Islam. Pagi Jumaat, 10 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah, Rasulullah SAW masuk ke Kota Mekah dengan penuh kesyukuran di atas kemenangan yang dikecapi dan Rasulullah SAW mengumumkan tawaran keselamatan. Tentera Islam tidak menghadapi tentangan kecuali daripada tentera Khalid bin Al-Walid yang diserang oleh tentera pimpinan Akramah bin Abu Jahal.

 Ketika bala tentera Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad S.A.W memasuki kota Makkah, ramai dikalangan kaum Kafir Quraisy merasa cemas dan takut termasuklah Abu Sufyan. Dengan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W, Baginda telah menjamin keselamatan penduduk Kota Makkah pada masa itu dengan 3 syarat iaitu sesiapa yang memasuki 3 tempat, maka mereka akan selamat iaitu:

1.    Memasuki rumah Abu Sufyan;
2.    Memasuki Masjidil Haram; dan
3.    Mengunci dan duduk diam dirumah masing-masing

    Sebaik memasuki Kota Makkah, baginda menghancurkan kesemua 360 berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di Makkah. Rasulullah SAW juga melakukan tawaf di Kaabah dan telah pergi ke makam Nabi Ibrahim lalu menunaikan solat sunat. Selesai solat baginda menyuruh Bilal bin Rabah melaungkan azan di bumbung Kaabah. Selain itu, Rasulullah SAW memberi pengampunan kepada bekas-belas musuhnya. Kemuliaan pekerti Rasulullah menyebabkan ramai penduduk Mekah memeluk Islam.


    Hasil pembukaan Kota Makkah, Islam boleh disebarkan ke seluruh tanah Arab. Bahkan ramai musyrikin Mekah telah memeluk agama Islam. Tanah Haram Mekah menjadi kawasan larangan kepada orang bukan Islam dan orang Islam dapat menunaikan ibadat tanpa gangguan orang kafir. Penduduk Mekah juga hidup dalam keadaan aman dan saling bekerjasama.

sumber rujukan

LUJNAH PENERBITAN DAN INFORMASI
KEMPEN: AKU CINTA MUHAMMAD SAW
#KACM