Setiap
anak yang lahir, mendengar kalimah tayyibah. Penyaksian bahawa tiada Tuhan yang
layak disembah selain ALLAH dan Muhammad sebagai utusanNYA. Azan dan iqamat itu
bagai memperingatkan setiap kita yang lahir agar bersedia melaksanakan misi
di dunia sebagai hamba dan khalifah, bertunjangkan kalimah syahadah itu.
Kemudian,
detik pun berlalu. Kaki si anak yang asalnya sebesar dua jari mula
membesar.Satu demi satu peringkat “kepandaian” menjadi perhatian dan bualan
ibubapa. Dalam pada itu, pelbagai impian dan harapan diserapkan dalam minda
anak-anak. Ada juga yang awal-awal lagi sudah ditanam cita-cita,apabila besar untuk menjadi apa. Segala jangkaan dan harapan ibubapa diterjemahkan dalam
jadual kehidupan anak-anak.Demi memastikan anak genius dan meraih kerjaya
idaman ibubapa, pelbagai aktiviti dan rejim pembelajaran mula diasak dan
didisiplinkan seawal setahun dua usia mereka.
Ini
cerita realiti hari ini.Subur dalam masyarakat perasaan yang sentiasa risau
akan anak-anak mereka. Risau ketinggalan tumbesaran berbanding rakan sebaya.
Risau akan kekurangan bakat yang dipamerkan anaknya. Risau akan kerjaya yang
bakal diceburinya. Risau akan kemampuan kewangan dalam menyekolahkan mereka di
institusi terbaik. Risau akan pandangan orang lain terhadapnya dan sebagainya.
Namun, berapa
ramaikah antara kita yang risau akan agama mereka?
Kerisauan
Para Anbia
Al-Quran merakamkan
banyak watak bapa berbanding ibu. Interaksi bapa dengan anak-anak mereka
diceritakan semula oleh ALLAH s.w.t sebagai pedoman. Mereka ialah Ibrahim,
Ya’kob dan Luqman. Sebagai bapa, mereka proaktif memikirkan keadaan anak-anak
setelah ketiadaan mereka nanti.
Kerisauan Ibrahim dan
Ya’kob telah dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Ibrahim pun
berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya. Demikian pula Ya’kob, katanya:
‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya ALLAH telah memilih agama ini untuk menjadi
ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan
kamu dalam keadaan Islam. ‘Adakah kamu hadir ketika Nabi Ya’kob hampir mati
ketika dia berkata kepada anak-anaknya : ‘Apakah yang kamu akan sembah sesudah
aku mati?’ Mereka menjawab : ‘Kami menyembah Tuhanmu, Tuhan datuk nenekmu
Ibrahim, Ismail, dan Ishaq iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kepadaNYA sahaja kami
berserah diri (dengan penuh keimanan).’’ (Surah al-Baqarah 2: 132-133)
Lihatlah, anak-anak
asuhan rumah kenabian tetap dirunsingkan oleh bapa-bapa mereka. Anak-anak itu
tetap ditanya tentang pegangan agama selepas kewafatan mereka.Anak-anak diajar
berikrar dan berjanji setia untuk hidup dan mati atas jalan iman.
Bandingkan pula
sejauhmana kerisauan kita. Adakah selari dengan apa yang dikhuatiri oleh
baginda berdua? Para nabi ini risau akan iman anak-anak mereka, bukannya
pembahagian harta pusaka. Jika para anbia risau tentang agama anak mereka,
sewajarnya kita lebih risau lagi.
Mengusul
Nasihat
Penekanan para anbia ini difahami dengan jelas oleh Ibn
Kathir. Beliau mentafsirkan ayat ini: “Ertinya, berbuat baiklah ketika
menjalani kehidupan ini dan berpegang teguhlah kepada agama ini. Sudah pasti ALLAH akan menganugerahkan kematian kepada kalian dalam keadaan Islam kerana
seseorang yang meninggal dunia dalam agama yang diyakininya akan dibangkit
dalam agama yang dianutinya ketika meninggal dunia.” (Tafsir Ibnu Kathir, jil
1, hlm 186) Pesan para anbia ini ialah
supaya kita hidup dan mati atas jalan Islam.
Kerisauan ini bukan sahaja ketika menjelang kematian, bahkan
sewajarnya turut meliputi segenap waktu terutamanya ketika ketiadaan kita.
Bagaimanakah agama anak-anak kita ketika mereka bersendirian, sama ada waktu
belajar ataupun bekerja?
Pesan Nabi Ibrahim dan Ya’kob bukan untuk anak-anak kecil.
Tetapi , mereka ialah anak-anak yang telah dewasa. Maka, tidak wajar kita berhenti memantau agama anak
kita atas alasan mereka sudah dewasa
dan tidak memerlukan nasihat. Agama itu nasihat, maka nasihatilah anak-anak
agar berpegang dengan aqidah tanpa jemu biarpun mereka sudah begitu dewasa
sebagaimana RasuluLLAH s.a.w bersabda: “ Agama itu nasihat”. (HR Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa majoriti ajaran
agama merupakan nasihat. Selanjutnya, Ibn Hajar menyambung: “ Nasihat bagi
sesama kaum Muslim adalah dengan menyayangi mereka,melakukan sesuatu yang
bermanfaat bagi mereka,mengajari mereka ilmu yang bermanfaat,menjauhkan pelbagai
gangguan daripada mereka, mencintai mereka sebagaimana dia mencintai dirinya
sendiri dan membenci apa-apa yang mereka benci sebagaimana dia membencinya
berlaku pada dirinya sendiri.” (Fath al-Bari, jil 1, hlm 138)
Nasihatilah anak-anak dengan mengajarkan mereka aqidah yang
sahih, menerangkan kepada mereka perkara-perkara yang membatalkan aqidah,
menjelaskan pemikiran musuh Islam yang ingin merosakkan aqidah umat Islam dan
juga meluruskan pandangan hidupnya melalui kaca mata aqidah islamiah.
Memantau
Agama Anak-Anak
Sewaktu menunaikan umrah di al-Haram, saya berkenalan dengan
seorang anak muda dari India. Saya bertanya, mengapa dia menjadi tetamu ALLAH.
“Datuk saya menghantar saya ke sini, sebelum saya bertolak
terus ke Amerika untuk menyambung pelajaran.”
Jawabnya panjang.
“Mengapa perlu menunaikan umrah?” saya bertanya lagi.
“Agar iman saya kuat sepanjang berada di Amerika nanti, in
shaa ALLAH.” Jawapanya itu disambut diam. Penuh doa kepada ALLAH.
Apabila berjauhan dengan anak yang disayangi, apa yang
dirisaukan oleh kita sebagai ibubapa? Tidak cukup biasiswa, tidak cukup makan,huru-hara
di Negara tersebut, gempa bumi dan bencana alam? Risaulah tentang
agama mereka sebagaimana datuk anak muda itu. Fikirkan bertapa kuatnya mereka
akan memegang bara api ini dalam menempuh cabaran hidup.
Bagaimana dengan solat mereka yang waktunya menguji iman? Bagaimana agama rakan-rakan mereka?Bagaimana
cara mereka beragama ? Adakah peluang mereka menambah ilmu agama di sana,
Bagaimanakah sistem sokongan masyarakat Muslim di sana?
Menghantar mereka berjauhan daripada ibubapa memerlukan
pedoman. Hadis ini ialah kerangka
pedoman tersebut. Semasa Abdullah bin Abbas membonceng dibelakang Rasulullah
s.a.w , Baginda bersabda yang bermaksud
: “wahai anak muda, aku perlu mengajarimu beberapa kalimah. Jagalah
ALLAH(mentaati perintahNYA) dan DIA akan menjaga kamu. Peliharalah ALLAH dan
DIA akan memeliharamu. Jika engkau brmohon, maka mohonlah kepda ALLAH, Jika
engkau mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan ALLAH.”(HR Atirmizi)
Hadis ini mengambarkan
keprihatinan Rasulullah s.a.w terhadap agama Abdullah bin Abbas, seorang
anak muda.Rasulullahh s.a.w mengajarnya beberapa perkara penting dalam hidup
beragama. Malahan, Baginda menyentuh perkara praktikal untuk diamalkan,
sekaligus memberi kesan pada keimanannya. Ingatkan kalimah yang sama pada
zuriat kita.
Duka Nabi Nuh a.s Jangan Berulang
Nabi Nuh a.s berjuang dengan dakwah tauhid selama 950 tahun
tetapi tidak berjaya membawa walau seorang pun anaknya untuk beriman kepada
ALLAH s.w.t . Azab berupa banjir besar yang datang, tetap mahu dilawan.Apabila
seruan iman disampaikan, anaknya enggan menerimanya.Enggan beriman bermaksud
enggan diselamatkan. Cukup pahit untuk ditelan oleh seorang bapa.
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan Nabi Nuh memanggil
anaknya yang berada ditempat yang terpisah dariapadanya: ‘Wahai anakku, naiklah
bersama-sama kami dan janganlah engkau berada bersama-sama orang kafir.’
Anaknya menjawab: “Aku akan berlindung disebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelami air.’
Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang dapat berlindung daripada
azab ALLAH kecuali orang yang dikasihaniNYA.’ Dan dipisahkan antara
kedua-duanya oleh ombak yang besar itu, lalu menjadilah dia daripada orang yang
ditenggelamkan.” (Surah Hud 11:42-43)
Setelah kapal berlabuh, Nuh tidak berputus asa untuk memohon
keselamatan daripada ALLAH s.w.t untuk anaknya. Namun, permintaan itu ditolak
ALLAH, malah ALLAH menafikan status anak tersebut kerana keengganannya beriman.
ALLAH s.w.t berfirman bermaksud : “Dan Nabi Nuh merayu
kepada Tuhannya dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku sesungguhnya anakku itu daripada
keluargaku sendiri dan janjiMu itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak
Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.’ ALLAH s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Wahai Nuh!
Sesungguhnya anakmu itu bukanlah daripada keluargamu.Sesungguhnya perbuatannya
bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang
engkau tidak ketahui. Sebenarnya Aku melarangmu menjadi orang yang
jahil.’”(Surah Hud 11:45-46)
Iman memang tidak boleh diwarisi tetapi menjadi kewajipan
ibubapa untuk mencorakkan kain putih anaknya. Sebagaimana Rasululullah s.a.w bersabda yang dinyatakan
oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “ Tidaklah setiap orang lahir melainkan
fitrah, maka ibubapanya yang akan menjadikannya Yahudi, Kristian ataupun
Majusi.”(Riwayat al-Bukhari)
Sentiasalah memberi pesan kepada anak-anak seperti pesanan
Luqman kepada anaknya menerusi firman ALLAH yang bermaksud: “Dan tatkala Luqman
berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anakku,
janganlah kau mempersekutukan ALLAH. Sesungguhnya perbuatan syirik itu satu
kezaliman yang besar.’”(Surah Luqman31:13)
Moga-moga apabila pesan Luqman ini tersemat pada jiwa
anak-anak, maka duka Nabi Nuh a.s tidak berulang dalam sejarah hidup kita. Amin
0 Komen:
Post a Comment