Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi. Beberapa tahun lepas seperti kebiasaannya, telah menjadi debaran kepada setiap mereka yang bergelar graduan di peringkat matrikulasi, untuk menunggu ‘lamaran’ menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pilihan utama. Kerana apa? Mungkin kerana UKM terkenal sebagai salah satu universiti yang kompeten, tambahan dengan beberapa graduasi yang telah berjaya mencetak nama di peringkat antarabangsa. Tapi saya yakin kebanyakan bekas lepasan matrikulasi atau asasi akan memilih institusi pengajian tinggi mengikut rakan-rakan sebaya mereka. Saya memilih UKM sebagai pilihan utama kerana mengikut pilihan ibubapa. Tidak kisahlah apa rakan-rakan mahu menggelarkan saya `anak mak’ tapi saya yakin mungkin ada keberkatan apabila saya mengikut pilihan mereka. InsyaAllah.

Alhamdulillah, Tuhan makbulkan doa. Namun satu perkara yang tidak pernah terlintas difikiran sebaik surat tawaran diterima. “ Universiti Kebangsaan Malaysia kampus Kuala Lumpur? ” . Tidak sangka UKM masih ada cawangan lain Bangi.

“ UKM kampus KL? ”
“ Kat mana? ”
“ Macam mana la aku nak hidup kat KL ni. Mak Bapak aku bukanlah orang kaya. Kos sara hidup kat sana mana la sama dengan kos sara hidup kat kampung ni.”
               
Syukur, perjalanan ke Kampus UKM Kuala Lumpur berjalan lancar. Pada hari itu jalanraya penuh dengan kenderaan berbanding hari kebiasaannya. Kebanyakan kenderaan mempunyai destinasi yang sama iaitu ke kolej-kolej IPT yang berbeza.  Kehadiran pelajar baru disambut oleh beberapa orang senior yang bertindak selaku petugas pada hari tersebut. Nama di daftar. Bersua muka dengan pelajar-pelajar baru dari serata negeri. Apabila terjumpa rakan yang sama dari kolej matrikulasi, kami bergelak ketawa kerana masih dapat belajar di tempat yang sama. Pelbagai ragam.  Terdetik di hati, nampaknya pelbagai memori baru akan tercipta disini. Kolej Tun Syed Nasir. InsyaAllah.
               
Namun, sebagai seorang pelajar yang berlatarbelakangkan ‘ orang kampung ’, seperti sudah menjadi seakan suatu sumpahan ataupun taboo mengaitkan perubahan akhlak dan tingkah laku apabila menjadi orang bandar nanti. Culture shocked katanya. Tambahan pula dengan mendapat tajaan biasiswa JPA,MARA ataupun PTPTN. Aku dapat rasakan kehidupanku akan berubah..
Hidup kat KL, kawan dengan bermacam-macam jenis kawan, dapat pulak duit biasiswa.masak la aku~”
“ betul ke? ”
”entah lah…”

                Sebulan pertama di KTSN, Alhamdulillah, masih ada yang menjaga kami selaku pelajar baru. Bahkan diantara kami juga masih ada yang belum berani-berani ingin mencuba perkara baru. Namun, apabila masuk ke bulan-bulan seterusnya, mungkin kerana telah melepasi fasa adaptasi, masing-masing dengan gaya dan cara  tersendiri. Masing-masing sudah menunjukkan identiti sebenar. Itulah hakikat. Pemilihan sahabat menjadi antara faktor utama survival hidup di universiti. Pilih sahabat yang menjual minyak wangi, kita terkena wanginya. Pilih sahabat pembuat besi, kita terkena percikan api dan bau tengiknya. 
               
Inilah perkara yang menjadi kegusaran pada hati ini, kepada mereka  yang cuba untuk tidak lupa diri. Amanah keluarga harus dipegang erat supaya dapat dicapai apa yang telah menjadi janji. Iaitu menjadi anak yang Berjaya dan dapat membantu keluarga masing-masing. Pengalaman pertama yang tidak pernah dirasai, sudah semestilah mempunyai kumpulan usrah tersendiri. Ketika di matrikulasi perkataan `usrah’ dianggap asing tetapi disini tidak. Aku perlu berkembang dan sentiasa memajukan diri sendiri. Jika di matrikulasi aku merupakan seorang yang pendiam dan kurang keyakinan, disini aku mesti menjadi seorang yang pandai berkata-kata dan berkeyakinan tinggi. Dengan naqib senior yang telah menempuh pelbagai pengalaman, kepadanya menjadi rujukan diri ini. Setiap apa yang menjadi keraguan, kerisauan, kekecewaan, disitu kami kongsikan. Aku sedar bahawa usrah ini seperti sebuah keluarga. Cukuplah, mereka itulah penjaga menggantikan ibu-bapa disini. Setiap apa yang dilakukan, seolah terasa diperhati. Salah silap boleh dibetulkan.
Time matrik ko takde pulak join benda usrah ni bro. What happen?”
“ Saja-saja je join la. At least ada la orang yang nak tegur dan nasihat aku kalau aku ada masalah.”
“ Habis kawan-kawan kau yang tak join usrah ni tak boleh nasihat/tolong kau? ”
“ Boleh je tapi feeling lain sikit.Teeettt”

                Persekitaran KTSN juga patut diberikan pujian. Pelbagai bentuk program-program islamik berbentuk ilmiah juga turut dijalankan. Mungkin pujian ini patut diberikan kepada pihak pengurusan kolej, dan juga beberapa mahasiswa yang bertanggungjawab memastikan mahasisiwa ini lebih celik dan terdedah kepada program yang membentuk sahsiah diri. Aku juga perasan yang aku sudah menjadi seorang yang lebih aktif berbanding menuntut di sekolah dan matrikulasi. Aku menjadi seorang yang kurang mempunyai masa lapang.
Ok la tu kurang masa lapang, takde la aku banyak masa nak melepak kat shopping complex perabiskan duit biasiswa aku.”

                Belajar di IPT di dalam kursus ijazah sarjana muda bukanlah perkara mudah. Subjek adalah lebih sukar berbanding di sekolah dan matrikulasi. Tipikal. Jadual dan subjek perlu dirangka sendiri sebaik mungkin supaya aktiviti dalam jadual harian dapat dilakukan dengan efektif. Aku pernah terdengar kenyataan dari rakan dan senior terdahulu,`belajar degree kalau tak extent tu menipulah~’. Kenyataan itu sedikit sebanyak menakutkan pelajar-pelajar baru termasuklah diri ini. Perlu diingatkan kepada pelajar baru bahawa cara belajar peringkat degree tidak sama seperti peringkat matrikulasi ataupun asasi. Ianya lebih mencabar. Aku perlu sentiasa bertukar cara aku study kerana aku mudah bosan dengan cara yang sama. Tambahan pula cara study bagi setiap individu berbeza. “Find the ideal study method that suit yourself.”
               
Setelah beberapa tahun menjadi sebahagian dari masyarakat KTSN, terlalu banyak perkara yang dapat dipelajari melalui pemerhatian dan tunjuk ajar dari senior mahupun pensyarah yang menetap di kolej ini. Walaubagaimanapun, terdapat juga banyak perkara yang aku masih belum belajar dan aku berharap kehidupanku di KTSN ini dapat mengajar aku menjadi seorang yang berjaya di dunia dan akhirat. Aku berazam setinggi mana aku menuntut ilmu aku tidak akan melupakan jasa-jasa individu-individu yang telah membantu aku sehingga aku dapat menuntut ilmu sehingga kini. Dari tadika ke sekolah rendah dan menengah. Dari sekolah ke kolej matrikulasi. Dari kolej matrikulasi ke universiti. Terima kasih banyak-banyak aku ucapkan kepada mereka.

by: Yasser

Reaksi: