Khawlah al-azwar: lembutmu bukan halangan

Kilatan demi kilatan pedang tangkas menghunus. Perang semakin sengit. Tentera Muslim berhadapan dengan tentera Rom yang ramai. Perindu-perindu syahid keletihan. Saat melamar bidadari syurga terasa kian hampir. Biar syahid, mengalah tidak sekali. Keduk..keduk…keduk… Seekor kuda perang meluncur gagah. Penunggangnya, wajah terlitup kain. Berani. Debu-debu Sahrawi bertebangan. Mata-mata terbeliak kagum. Teruja. Amuk si pewira mengayun tombak dengan garang. Musuh-musuh ALLAH jatuh. ALLAHU AKBAR! Semangat tentera Muslim menggelegar di udara. Musuh berasa gerun. “Adakah itu Khalid bin al-Walid?” Musuh tertanya-tanya. Sememangnya nama besar Khalid bin al-Walid cukup menggetarkan mereka. Salah seorang ketua skuad Islam, Raafe bin Umaira berbisik kagum, “Beliau bertempur sperti Khalid, tapi saya yakin beliau bukan Khalid.”  Tersingkap tabir wajah, nyatalah si perwira itu bukan seorang lelaki berhati waja sebaliknya seorang srikandi yang perkasa. Tatkala mengetahui tentera yang sedang mengucar-ngacirkan musuh itu adalah Khawlah al- Azwar, Khalid bin Al-Walid hampir terjatuh daripada kudanya. Takjub .

Membebaskan abang tersayang

Khawlah al-Azwar terdorong menggempur musuh, mencari syahid dalam peperangan itu sebaik sahaja telinganya menangkap berita, abangnya Zirar al-Azwar telah ditawan. Sangkar besi milik tentera Rom yang penuh dengan penyeksaan membuatkan Khawlah al-Azwar tidak mampu lagi berdiam diri, lantas membuat pembelaan. Beliau asyik membayangkan betapa deritanya si abang melalui saat-saat ngeri di balik jeriji-jeriji besi.
Peperangan beransur reda apabila barisan pertahanan musuh berjaya dipecahkan. Khawlah al-Azwar tidak sabar-sabar menanti operasi seterusnya. Abangnya mesti dibebaskan. Tentera Muslimin mengatur operasi serangan seterusnya di Beit Lahiya, Gaza,Palestin. Di situlah Zirar al-Azwar dipercayai terpenjara. Khawlah al-Azwar menghunus pedang, menyertai perang. Akhirnya, di situ abangnya yang tersayang berjaya dibebaskan.

Mahir berkuda dan bersenjata

Khawlah al-Azwar, nama seindah identity. Dibesarkan  pada zaman Islam sering diancam peperangan. Ayahnya memperlengkapkan didikannya dengan ilmu mempertahankan diri. Sejak kecil, dia diasuh menunggang kuda dan bermain pedang. Segala teknik dan kemahiran diperturunkan. Maka mekarlah mawar agama itu sebagai seorang srikandi yang perkasa. Mahir berkuda dan bersenjata.

Dalam perang Yarmouk, beliau cukup berwibawa memipin dan memelihara kaum wanita yang ikut serta dalam peperangan itu. Tidak lengkap pasukan tentera Islam tanpa kaum wanita sebagai sayap kiri perjuangan. Keberanian Khawlah al-Azwar terserlah sehingga kepalanya cedera mengalirkan darah. Pengorbanannya tidak sia-sia. Panji kemenangan Muslim berkibar dalam peperangan itu hingga membawa kepada pembukaan Syam. Bandar Damsyik bercayaha dengan sinar baru.



Membuka kurungan

Dalam peperangan Sahura, Khawlahndan beberapa mujahidah Muslimah tertawan. Ah, tiada episode kekalahanan. Lawan tetap lawan. Mungkin begitu jeritan batin Khawla. Beliau tidak mahu hanya menanti bantuan tanpa berusaha melakukan tindakan. Tertendang-tendang hatinya menyuruh berlawan. Pengawal-pengawal yang mengurung mereka Nampak gagah perkasa. Sekali pandang, untuk menemui kebebasan memang mustahil. Dia mungkin tidak berupaya jika melawan secara keseorangan. Lalu, dia berpidato untuk membakar semangat teman-teman.
“Wahai sahabat-sahabatku yang sedang berjuang di jalan ALLAH, apakah saudari semua sanggup menjadi tukang-tukang picit orang Rom? Apakah saudari-saudari sanggup menjadi hamba orang kafir yang dilaknati? Adakah rela saudari dicaci maki oleh bangsa Rom yang durjana? Di manakah letaknya kehormatan saudari sebagai seorang Muslimah yangbertaqwa?  Sesungguhnya mati itu lebih baik bagi kita daripada menjadi hamba-hamba orang Rom.
Sebelum memulakan misi serangan ke atas pengawal-pengawal yang garang itu, mereka berdoa, bertaubat dan bermunajat sesungguh dan seikhlas hati kerana selepas ini kemungkinan mereka akan dibantu ALLAH SWT atau dibawa kembali selamanya kepada ALLAH. Menag atau syahid, mengalah tidak sekali!
Khawlah al-Azwar berpidato lagi, “Jangan sekali-kali saudari gentar dan takut. Kita semua harus bersatu dalam perjuangan dan jangan ada yang terkecuali. Patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, perbanyakkan takbir serta kuatkan hati. Insya ALLAH  pertolongan ALLAH sudah dekat.” ALLAHU AKBAR! Pasukan Muslimah itu bertempur dengan pengawal-pengawal durjana dan akhirnya mereka berjaya menumpaskan mereka. Lantas , mereka lari membebaskan diri daripada kurungan untuk terus berjihad, bergabung dengan tentera Muslimin. Begitulah kentalnya episode hidup Khawlah al-Azwar yang terakam unggul dalam Maghazi Rasulillah hasil kompilasi Muhammad bin Umar al-Waqidi al-Aslami. Hari ini, Islam sering terancam. Adakah mungkin akan lahir lagi jiwa srikandi seperti Khawlah al-Azwar pada abad ini?

 Mekarlah Mawar Agama itu sebagai seorang srikandi yang perkasa.

Reaksi: