“Eh, sejak bila kau pakai “stoking”, “handsock” bagai ni?”
“Amboi, dah pandai nak bercakap pasal agama pulak sekarang ni.”

Bait-bait dialog di atas menjadi satu perkara “common” untuk golongan yang baru sahaja berhijrah daripada alam kejahilan kepada alam pengertian sebenar tentang agama yang satu iaitu Islam. Hijrah sememangnya boleh dikatakan satu transformasi terbesar yang perlu dilakukan oleh umat Islam pada zaman sekarang yang sering dinodai dengan kemewahan dan kelalaian dunia. Hijrah bukan sahaja tertumpu pada golongan yang jahil tentang ilmu agama tetapi juga bagi setiap umat manusia walaupun mempunyai budi pekerti yang luhur kerana secara fitrahnya tidak ada manusia di muka bumi ini yang sempurna. Sebagai contoh paling mudah, pada zaman Rasulullah SAW dahulu juga telah berlaku beberapa penghijrahan seperti penghijrahan dari kota Mekah ke Madinah. Mengapa Rasulullah berhijrah? Adakah kerana baginda SAW  jahil mengenai Islam? Sudah tentu TIDAK jawapannya. Baginda SAW berhijrah kerana mendapat perintah daripada Allah Azzawajalla. Jadi, penghijrahan baginda boleh dijadikan sebagai analogi mengenai makna “Hijrah” yang bukan hanya difokuskan penghijrahan daripada kejahilan ilmu agama kepada kepandaian ilmu agama, tetapi juga tertumpu kepada penghijrahan daripada sesuatu yang baik kepada yang lebih baik, serta daripada yang lebih baik kepada yang paling baik. Kembali semula kepada maksud hijrah dari segi bahasa ialah berpindah dari satu tempat kepada tempat lain manakala dari segi istilah ialah perpindahan Nabi Muhammad SAW dan umat-umat Islam dari Mekah ke Madinah. Dalam erti kata lain, hijrah merujuk kepada perubahan diri dan secara ringkasnya, intipati sebenar hijrah ini ialah perubahan ke arah kebaikan dan hal ini tidak boleh disangkal lagi.

Satu kata-kata menarik yang patut dikongsi bersama-sama iaitu “Kita hidup hari ini bukan untuk menyambung dosa semalam, melainkan untuk kembali mencari pengampunan Tuhan”. Kata-kata ini amat bermakna pada kita kerana untuk menjadi insan yang bertaqwa kita perlu sentiasa memperbaharui diri dengan berhijrah. “Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah”. Perumpamaan yang dicipta oleh nenek moyang kita ada betulnya kerana memang tidak senang untuk berhijrah meninggalkan perkara yang kita suka demi mencapai kesenangan hakiki di syurga kelak, namun kita harus kuat demi meraih syurga Allah kerana nilai syurga bukannya murah wahai hati-hati yang takut akan Allah. Untuk berhijrah ke arah yang lebih positif, kita perlu mencari hidayah yakni petunjuk Allah kerana hidayah tidak akan datang bergolek begitu sahaja. Apabila ditanya kepada seseorang, “Bilalah kau ni nak berubah Man?”, jawapan yang diberi amat mudah dan “slumber” iaitu “Hidayah tak sampai lagilah der”. Hidayah memang tidak akan kunjung tiba kalau tidak dicari. Dalam dunia serba moden ini, segala-galanya berada di hujung jari, taip sahaja apa-apa yang kita hendak cari di internet, “macam-macam ada”.  Semuanya bergantung pada kita sama ada nak atau tak nak lantaran “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Hidayah memang milik Allah seperti dalam firmannya yang bermaksud:

“Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.”
 (Surah al-An’am, ayat 125).


Namun demikian, cahaya hidayah perlu diteroka oleh individu yang ingin berhijrah ke arah yang lebih baik. Hal ini kerana, yakinlah bahawa orang yang pernah  merasa gelapnya jahiliyyah akan lebih menghargai terangnya tarbiyyah.
Reaksi: