Showing posts with label Tarbiyah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyah. Show all posts

Friday, October 31, 2014

Saya ingin mengetahui setakat mana kaitan Islam dengan sukan? Apakah adab dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seseorang Muslim semasa bersukan?


Jawapan oleh Syeikh`Atiyyah Saqr :

Pertamanya, kami ingin memaklumkan bahawa Islam membenarkan apa-apa yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Islam menggalakkan Muslim menjadi kuat dan mencari jalan untuk kuat. Dalam Hadith, Rasulullah (SAW), memerintahkan kita dengan bersabda: “Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda.” Ini ialah seruan jelas untuk bersukan yang menunjukkan Islam letakkan kepentingan bersukan dalam melatih umat Muslim dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas. Tidak hairanlah apabila pepatah menyebut: “Minda yang cerdas bermula dari badan yang sihat.”

Sheikh `Atiyyah Saqr, bekas Ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar, menghuraikan sukan dan adabnyadengan lebih terperinci dengan menyatakan yang berikut:
“Sejak zaman silam, manusia telah mencipta pelbagai jenis latihan fizikal dan mencipta pelbagai jenis sukan untuk menjadikan badan mereka kuat, dengan setiap jenisnya mempunyai cara-cara dan matlamat tertentu. Satu bangsa yang sebati dengan pergaduhan dan perperangan, sukan seperti angkat berat, memanah dan beladiri menjadi kelaziman, sedangkan berenang menjadi sukan utama bagi orang yang tinggal di tepi pantai laut. Di semenanjung Arab, manusia sukan berburu dan menunggang kuda disebabkan keadaan mereka yang selalu mengembara dan berpindah-randah.


Bagaimana Islam Memandang Sukan?

Islam tidak melarang memiliki badan yang kuat dengan bersukan. Muslim di arahkan supaya memiliki badan yang kuat dan minda yang cerdas disamping memiliki akhlak mulia. Dalam Hadith, kita dapati:“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada yang lemah.” (Riwayat Muslim) Badan yang kuat mampu menunaikan kedua-dua tugas agama dan dunia. Islam tidak menerima apa-apa yang mendorong kepada pengabaian tugas itu, kecuali dalam beberapa kes yang beberapa kelonggaran di berikan supaya memudahkan penganutnya.

Kesan Sukan Kepada Badan :

Di dalam kitabnya yang terkenal ‘Zad-Al-Ma`aad’, Imam Ibnul-Qayyem menyatakan pergerakkan ialah asas kepada sukan. Ia menolong badan membuang sisa makanan dengan cara tabii. Ia menjadikan badan aktif, meningkatkan immuniti badan dan melindungi badan daripada penyakit. Setiap organ ada jenis sukan yang sesuai dengannya. Bagi menunggang kuda, memanah, bergusti dan berlumba-lari, merupakan sukan yang memberi manfaat kepada seluruh badan.

Sukan Yang Ada dalam Ibadah Islam :

Dalam Islam, kita melihat banyak ibadah Islam mengandungi sukan yang menolong badan mengekalkan kekuatan fizikal apabila ia di amalkan dengan sempurna. Amalan ibadah Haji, melawat saudara Muslim , melawat yang sakit, pergi dan balik ke masjid dan terlibat dalam aktiviti sosial merupakan aktiviti bersukan.

Adab Bersukan Dalam Islam :

Fakta Islam menggalakkan bersukan menjadikan seseorang sedar betapa besar, fleksibel dan lengkap agama ini yang Allah berikan kepada manusia. Dalam hal ini, Islam menekankan kepentingan latihan spiritual dan moral yang sepatutnya seiringan dengan latihan fizikal supaya mencapai matlamat yang dihajati.

Dalam menyokong pasukan, keganasan wajib dielakkan. Bermegah-megah juga mesti hindari. Menang dalam pertandingan tidak bermakna halal menghina lawan yang kalah. Islam memandang sukan sebagai jalan untuk meningkatkan kasih dan kerjasama antara manusia, bukan jalan melukakan perasaan. Inilah sebab si pemenang tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan kegembiraan sampai menghina lawan, dan yang kalah tidak boleh dihantui oleh cemburu terhadap kelebihan pihak lawan. Mereka mesti ingat yang kekalahan hari ini akan membuka jalan untuk kemenangan pada masa depan, jika mereka bersabar dan cuba menambah-baik diri mereka.

Ini mengingatkan kita akan peristiwa apabila seekor unta milik seorang badwi mengalahkan unta betina Rasulullah yang sentiasa menang dalam perlumbaan, Muslim berduka-cita. Mengulas hal itu, Rasulullah (SAW) bersabda: “Allah SWT telah menetapkan tiada apa-apa yang kekal menang (bermaksud setiap situasi ada naik dan turun dan tiada keadaan yang kekal).” Rasulullah (SAW), membuat kenyataan ini untuk mententeramkan perasaan mereka yang rasa kekalahan untanya satu hakikat yang sukar diterima.
Dalam pertandingan, seorang Muslim sejati tidak lupa adab memberikan pihak lawab layanan baik. 

Mengenepikan adab dalam pertandingan dan perlawanan ialah satu sifat munafik yang Rasulullah (SAW) rujuk apabila bersabda: “Terdapat empat sifat jika ditemui pada seseorang, dia seorang yang betul-betul munafik. Jika salah satunya ditemui pada seseorang, ia memberikan dia satu sifat munafik sampai dia meninggalkannya: jika diamanahkan dengan sesuatu, dia pecah amanah, jika bercakap, dia berbohong, jika berjanji, dia tidak tunaikan dan jika dia bertengkar dengan seseorang, dia melampau-lampau (menggunakan kata-kata kesat dan perbuatan buruk.)”

Panduan untuk Seseorang Muslim Dalam Bersukan:

1-Seseorang Muslim tidak sepatutnya lalai dengan sukan sehingga sampai mendorong meninggalkan tugas-tugas agama dan yang lain.

2- Seseorang Muslim tidak dibenarkan bersikap tidak peduli dalam bersukan dengan cara menimbulkan kecederaan kepada yang lain. Bersukan di atas jalan yang sesak misalnya, boleh menyebabkan kesesakan jalan, ini bukan cara Islam.

3-Perasaan fanatik membabi-buta dalam menyokong atau menentang satu pasukan adalah tiada kaitan dengan Islam, kerana ini benar-benar bercanggah dengan ajaran Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih-sayang.

4- Tidak dibenarkan kata-kata kesat, perbuatan buruk dan fitnah semasa bersukan.

5-Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak.

6-Islam menolak semua permainan dan sukan yang mendorong rangsangan seksual dan menggalakkan kejatuhan moral seperti wanita berlatih menari dan ditontoni oleh orang ramai.

Lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat mereka dan sebaliknya. Didalam Islam, tidak dibenarkan bagi wanita mengamalkan sukan yang khas untuk lelaki.

Kesimpulannya, sudah jelas yang semasa membenarkan sesuatu sebagai halal, Islam meletakkan beberapa syarat yang bertujuan mengekalkan akhlak dan sesuai dengan matlamat peraturan umum. Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki. Peraturan umum dalam Shari`ah ialah apa-apa perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makan, minum, berpakaian atau sebagainya, adalah dilarang. Al-Qur’an mengisytiharkan: 

“Hai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”(Al-Ma’idah: 87)”



Posted on Friday, October 31, 2014 by badarukmkl

No comments

Friday, September 12, 2014

"Khalil, jom ikut aku pergi usrah." Alif mengajak roommatenya yang sedang asyik bermain dota.
"Kau pergi la, tak nampak ke aku tengah berperang ni?" Jawab Khalil sambil tangannya ligat menekan tetikus laptopnya.
Alif tersenyum.
"Daripada kau berperang depan laptop, baik kau berjihad dekat Palestin, dapat juga pahala berganda. Jom la ikut aku pergi usrah. Bukan lama pun." Alif memujuk lagi.
Khalil menekan butang pause lalu berpusing menghadap Alif. Gurauan Alif sedikit menyentuh hatinya.
"Aku bukan apa Alif. Aku segan la nak pergi usrah. Aku ni bukan budak baik pun. Lain la kau, budak surau."
Alif terkedu mendengar luahan Khalil.
"Khalil, usrah tu bukan untuk golongan yang baik - baik sahaja, bukan untuk budak - budak surau atau bertudung labuh sahaja. Usrah tu untuk sesiapa sahaja yang ingin menjadi baik. Kita ni manusia, Khalil. Bumi mana yang tak ditimpa hujan. Manusia ini sentiasa berdosa. Bezanya, ada manusia yang menyesal lalu bertaubat. Namun ada juga yang terus hanyut dalam dosa, tidak mengerti petunjuk yang Tuhan bagi."
Alif berhenti sejenak. Tiba-tiba dia merasa sebak. Khalil pun terdiam sama. Setelah beberapa ketika, Alif menyambung.

“Aku sangat lemah dalam mentaati Allah. Sangat lemah sebab itulah aku join usrah. Ada sahabat-sahabat yang sentiasa memberi peringatan. Menegur ketika aku salah. Mendekatkan aku pada pengertian islam sebenar. Dengan usrah, aku mampu menghayati islam sebagai sebuah cara hidup. Bukan lagi islam hanya pada nama. Tapi islam pada hati, akal dan jiwa."
“Realitinya, kehidupan di kampus ini semakin menjauhkan kita daripada Allah jika kita tidak berusaha mencari jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya. Tiada lagi subjek pendidikan islam yang memandu. Maka usrah inilah yang akan menjadi jalan untuk kita menjadi hamba yang taat,” tambah Alif lagi.
“Bukankah Allah telah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 35 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.”
"Jalannya telah pun berada di hadapan kita. Tinggal lagi kemahuan kita samada untuk mengambilnya atau meninggalkannya,” bahu sahabatnya disentuh lembut.
Alif menghelakan nafas. Panjang pula syarahannya.
Khalil yang khusyuk mendengar tiba-tiba tersengih.
"Dah macam ustaz aku tengok kau ni Alif. Siap dengan ayat quran lagi. Haha. By the way Alif, thanks for the lecture. Aku nak ikut kau pi usrah. Aku pun nak jadi hamba Allah yang baik. Tunggu aku."
Khalil melangkah keluar ke bilik air. Mengambil wudhu' barangkali. Alif gembira. Sungguh hidayah itu milik Allah. Akan dicampak ke dalam hati sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.
"Alhamdulillah."
Pesanan penaja:
1) Daripada Anas r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Semua anak Adam adalah berdosa. Sebaik-baik mereka yang berdosa adalah mereka yang bertaubat."  (Riwayat Ahmad)
2) Jom sertai Quranic Circle anjuran BADAR KTSN.
3) Jangan lupa ulangkaji pelajaran! Kalau rajin datang usrah, study pun kena rajin.
4) Ayuh, cemerlang dunia akhirat!

Posted on Friday, September 12, 2014 by badarukmkl

No comments

Thursday, March 13, 2014


Setiap anak yang lahir, mendengar kalimah tayyibah. Penyaksian bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain ALLAH dan Muhammad sebagai utusanNYA. Azan dan iqamat itu bagai memperingatkan setiap kita yang lahir agar bersedia melaksanakan misi di dunia sebagai hamba dan khalifah, bertunjangkan kalimah syahadah itu.

Kemudian, detik pun berlalu. Kaki si anak yang asalnya sebesar dua jari mula membesar.Satu demi satu peringkat “kepandaian” menjadi perhatian dan bualan ibubapa. Dalam pada itu, pelbagai impian dan harapan diserapkan dalam minda anak-anak. Ada juga yang awal-awal lagi sudah ditanam cita-cita,apabila besar untuk menjadi apa. Segala jangkaan dan harapan ibubapa diterjemahkan dalam jadual kehidupan anak-anak.Demi memastikan anak genius dan meraih kerjaya idaman ibubapa, pelbagai aktiviti dan rejim pembelajaran mula diasak dan didisiplinkan seawal setahun dua usia mereka.

Ini cerita realiti hari ini.Subur dalam masyarakat perasaan yang sentiasa risau akan anak-anak mereka. Risau ketinggalan tumbesaran berbanding rakan sebaya. Risau akan kekurangan bakat yang dipamerkan anaknya. Risau akan kerjaya yang bakal diceburinya. Risau akan kemampuan kewangan dalam menyekolahkan mereka di institusi terbaik. Risau akan pandangan orang lain terhadapnya dan sebagainya.
Namun, berapa ramaikah antara kita yang risau akan agama mereka?

Kerisauan Para Anbia

Al-Quran merakamkan banyak watak bapa berbanding ibu. Interaksi bapa dengan anak-anak mereka diceritakan semula oleh ALLAH s.w.t sebagai pedoman. Mereka ialah Ibrahim, Ya’kob dan Luqman. Sebagai bapa, mereka proaktif memikirkan keadaan anak-anak setelah ketiadaan mereka nanti.
Kerisauan Ibrahim dan Ya’kob telah dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya. Demikian pula Ya’kob, katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya ALLAH telah memilih agama ini untuk menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan  kamu dalam keadaan Islam. ‘Adakah kamu hadir ketika Nabi Ya’kob hampir mati ketika dia berkata kepada anak-anaknya : ‘Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?’ Mereka menjawab : ‘Kami menyembah Tuhanmu, Tuhan datuk nenekmu Ibrahim, Ismail, dan Ishaq iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kepadaNYA sahaja kami berserah diri (dengan penuh keimanan).’’ (Surah al-Baqarah 2: 132-133)
Lihatlah, anak-anak asuhan rumah kenabian tetap dirunsingkan oleh bapa-bapa mereka. Anak-anak itu tetap ditanya tentang pegangan agama selepas kewafatan mereka.Anak-anak diajar berikrar dan berjanji setia untuk hidup dan mati atas jalan iman.

Bandingkan pula sejauhmana kerisauan kita. Adakah selari dengan apa yang dikhuatiri oleh baginda berdua? Para nabi ini risau akan iman anak-anak mereka, bukannya pembahagian harta pusaka. Jika para anbia risau tentang agama anak mereka, sewajarnya kita lebih risau lagi.

Mengusul Nasihat

Penekanan para anbia ini difahami dengan jelas oleh Ibn Kathir. Beliau mentafsirkan ayat ini: “Ertinya, berbuat baiklah ketika menjalani kehidupan ini dan berpegang teguhlah kepada agama ini. Sudah pasti  ALLAH akan menganugerahkan kematian  kepada kalian dalam keadaan Islam kerana seseorang yang meninggal dunia dalam agama yang diyakininya akan dibangkit dalam agama yang dianutinya ketika meninggal dunia.” (Tafsir Ibnu Kathir, jil 1, hlm 186)  Pesan para anbia ini ialah supaya kita hidup dan mati atas jalan Islam.
Kerisauan ini bukan sahaja ketika menjelang kematian, bahkan sewajarnya turut meliputi segenap waktu terutamanya ketika ketiadaan kita. Bagaimanakah agama anak-anak kita ketika mereka bersendirian, sama ada waktu belajar ataupun bekerja?
Pesan Nabi Ibrahim dan Ya’kob bukan untuk anak-anak kecil. Tetapi , mereka ialah anak-anak yang telah dewasa. Maka,  tidak wajar kita berhenti memantau agama anak kita atas alasan  mereka sudah dewasa dan tidak memerlukan nasihat. Agama itu nasihat, maka nasihatilah anak-anak agar berpegang dengan aqidah tanpa jemu biarpun mereka sudah begitu dewasa sebagaimana RasuluLLAH s.a.w bersabda: “ Agama itu nasihat”. (HR Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa majoriti ajaran agama merupakan nasihat. Selanjutnya, Ibn Hajar menyambung: “ Nasihat bagi sesama kaum Muslim adalah dengan menyayangi mereka,melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka,mengajari mereka ilmu yang bermanfaat,menjauhkan pelbagai gangguan daripada mereka, mencintai mereka sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri dan membenci apa-apa yang mereka benci sebagaimana dia membencinya berlaku pada dirinya sendiri.” (Fath al-Bari, jil 1, hlm 138)
Nasihatilah anak-anak dengan mengajarkan mereka aqidah yang sahih, menerangkan kepada mereka perkara-perkara yang membatalkan aqidah, menjelaskan pemikiran musuh Islam yang ingin merosakkan aqidah umat Islam dan juga meluruskan pandangan hidupnya melalui kaca mata aqidah islamiah.

Memantau Agama Anak-Anak

Sewaktu menunaikan umrah di al-Haram, saya berkenalan dengan seorang anak muda dari India. Saya bertanya, mengapa dia menjadi tetamu ALLAH.
“Datuk saya menghantar saya ke sini, sebelum saya bertolak terus ke Amerika untuk menyambung pelajaran.”  Jawabnya panjang.
“Mengapa perlu menunaikan umrah?” saya bertanya lagi.
“Agar iman saya kuat sepanjang berada di Amerika nanti, in shaa ALLAH.” Jawapanya itu disambut diam. Penuh doa kepada ALLAH.
Apabila berjauhan dengan anak yang disayangi, apa yang dirisaukan oleh kita sebagai ibubapa? Tidak cukup biasiswa, tidak cukup makan,huru-hara di Negara tersebut, gempa bumi dan bencana alam? Risaulah   tentang agama mereka sebagaimana datuk anak muda itu. Fikirkan bertapa kuatnya mereka akan memegang bara api ini dalam menempuh cabaran hidup.
Bagaimana dengan solat mereka yang waktunya menguji  iman? Bagaimana agama rakan-rakan mereka?Bagaimana cara mereka beragama ? Adakah peluang mereka menambah ilmu agama di sana, Bagaimanakah sistem sokongan masyarakat Muslim di sana?
Menghantar mereka berjauhan daripada ibubapa memerlukan pedoman. Hadis  ini ialah kerangka pedoman tersebut. Semasa Abdullah bin Abbas membonceng dibelakang Rasulullah s.a.w , Baginda  bersabda yang bermaksud : “wahai anak muda, aku perlu mengajarimu beberapa kalimah. Jagalah ALLAH(mentaati perintahNYA) dan DIA akan menjaga kamu. Peliharalah ALLAH dan DIA akan memeliharamu. Jika engkau brmohon, maka mohonlah kepda ALLAH, Jika engkau mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan ALLAH.”(HR Atirmizi)
Hadis ini mengambarkan  keprihatinan Rasulullah s.a.w terhadap agama Abdullah bin Abbas, seorang anak muda.Rasulullahh s.a.w mengajarnya beberapa perkara penting dalam hidup beragama. Malahan, Baginda menyentuh perkara praktikal untuk diamalkan, sekaligus memberi kesan pada keimanannya. Ingatkan kalimah yang sama pada zuriat kita.

Duka Nabi Nuh a.s Jangan Berulang

Nabi Nuh a.s berjuang dengan dakwah tauhid selama 950 tahun tetapi tidak berjaya membawa walau seorang pun anaknya untuk beriman kepada ALLAH s.w.t . Azab berupa banjir besar yang datang, tetap mahu dilawan.Apabila seruan iman disampaikan, anaknya enggan menerimanya.Enggan beriman bermaksud enggan diselamatkan. Cukup pahit untuk ditelan oleh seorang bapa.
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan Nabi Nuh memanggil anaknya yang berada ditempat yang terpisah dariapadanya: ‘Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau berada bersama-sama orang kafir.’ Anaknya menjawab: “Aku akan berlindung disebuah gunung yang dapat  menyelamatkan aku daripada ditenggelami air.’ Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang dapat berlindung daripada azab ALLAH kecuali orang yang dikasihaniNYA.’ Dan dipisahkan antara kedua-duanya oleh ombak yang besar itu, lalu menjadilah dia daripada orang yang ditenggelamkan.” (Surah Hud 11:42-43)
Setelah kapal berlabuh, Nuh tidak berputus asa untuk memohon keselamatan daripada ALLAH s.w.t untuk anaknya. Namun, permintaan itu ditolak ALLAH, malah ALLAH menafikan status anak tersebut kerana keengganannya beriman.
ALLAH s.w.t berfirman bermaksud : “Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku sendiri dan janjiMu itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.’ ALLAH s.w.t  berfirman yang bermaksud: ‘Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah daripada keluargamu.Sesungguhnya perbuatannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak ketahui. Sebenarnya Aku melarangmu menjadi orang yang jahil.’”(Surah Hud 11:45-46)
Iman memang tidak boleh diwarisi tetapi menjadi kewajipan ibubapa untuk mencorakkan kain putih anaknya. Sebagaimana  Rasululullah s.a.w bersabda yang dinyatakan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “ Tidaklah setiap orang lahir melainkan fitrah, maka ibubapanya yang akan menjadikannya Yahudi, Kristian ataupun Majusi.”(Riwayat al-Bukhari)
Sentiasalah memberi pesan kepada anak-anak seperti pesanan Luqman kepada anaknya menerusi firman ALLAH yang bermaksud: “Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anakku, janganlah kau mempersekutukan ALLAH. Sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar.’”(Surah Luqman31:13)
Moga-moga apabila pesan Luqman ini tersemat pada jiwa anak-anak, maka duka Nabi Nuh a.s tidak berulang dalam sejarah hidup kita. Amin


Posted on Thursday, March 13, 2014 by badarukmkl

No comments

Wednesday, June 19, 2013




















Allah s.w.t berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

"Hai orang -orang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (al-Baqarah:153)


Assalamulaikum. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Syukur kepada Allah Ta’ala kerana masih memberi kesempatan kepada kita untuk hidup dalam keimanan dan Islam dengan mengucapkan “Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin”
Tidak lupa pula kita berselawat kepada baginda Rasulullah s.a.w dengan mengucapkan 

“Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aali Sayyidina Muhammad”
Mudah-mudahan dengan berselawat kepada baginda, akan diberi syafaat olehnya di akhirat nanti. 

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.


Mari kita muhasabah kembali solat - solat yang kita telah kita tunaikan sepanjang kehidupan kita sama ada solat fardu mahupun solat sunat. Adakah kita tenang setiap kali selepas kita tunaikan kewajipan solat yang tidak pernah gugur selamanya ini? 

Posted on Wednesday, June 19, 2013 by badarukmkl

No comments