Setiap anak yang lahir, mendengar kalimah tayyibah. Penyaksian bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain ALLAH dan Muhammad sebagai utusanNYA. Azan dan iqamat itu bagai memperingatkan setiap kita yang lahir agar bersedia melaksanakan misi di dunia sebagai hamba dan khalifah, bertunjangkan kalimah syahadah itu.

Kemudian, detik pun berlalu. Kaki si anak yang asalnya sebesar dua jari mula membesar.Satu demi satu peringkat “kepandaian” menjadi perhatian dan bualan ibubapa. Dalam pada itu, pelbagai impian dan harapan diserapkan dalam minda anak-anak. Ada juga yang awal-awal lagi sudah ditanam cita-cita,apabila besar untuk menjadi apa. Segala jangkaan dan harapan ibubapa diterjemahkan dalam jadual kehidupan anak-anak.Demi memastikan anak genius dan meraih kerjaya idaman ibubapa, pelbagai aktiviti dan rejim pembelajaran mula diasak dan didisiplinkan seawal setahun dua usia mereka.

Ini cerita realiti hari ini.Subur dalam masyarakat perasaan yang sentiasa risau akan anak-anak mereka. Risau ketinggalan tumbesaran berbanding rakan sebaya. Risau akan kekurangan bakat yang dipamerkan anaknya. Risau akan kerjaya yang bakal diceburinya. Risau akan kemampuan kewangan dalam menyekolahkan mereka di institusi terbaik. Risau akan pandangan orang lain terhadapnya dan sebagainya.
Namun, berapa ramaikah antara kita yang risau akan agama mereka?

Kerisauan Para Anbia

Al-Quran merakamkan banyak watak bapa berbanding ibu. Interaksi bapa dengan anak-anak mereka diceritakan semula oleh ALLAH s.w.t sebagai pedoman. Mereka ialah Ibrahim, Ya’kob dan Luqman. Sebagai bapa, mereka proaktif memikirkan keadaan anak-anak setelah ketiadaan mereka nanti.
Kerisauan Ibrahim dan Ya’kob telah dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya. Demikian pula Ya’kob, katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya ALLAH telah memilih agama ini untuk menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan  kamu dalam keadaan Islam. ‘Adakah kamu hadir ketika Nabi Ya’kob hampir mati ketika dia berkata kepada anak-anaknya : ‘Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?’ Mereka menjawab : ‘Kami menyembah Tuhanmu, Tuhan datuk nenekmu Ibrahim, Ismail, dan Ishaq iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kepadaNYA sahaja kami berserah diri (dengan penuh keimanan).’’ (Surah al-Baqarah 2: 132-133)
Lihatlah, anak-anak asuhan rumah kenabian tetap dirunsingkan oleh bapa-bapa mereka. Anak-anak itu tetap ditanya tentang pegangan agama selepas kewafatan mereka.Anak-anak diajar berikrar dan berjanji setia untuk hidup dan mati atas jalan iman.

Bandingkan pula sejauhmana kerisauan kita. Adakah selari dengan apa yang dikhuatiri oleh baginda berdua? Para nabi ini risau akan iman anak-anak mereka, bukannya pembahagian harta pusaka. Jika para anbia risau tentang agama anak mereka, sewajarnya kita lebih risau lagi.

Mengusul Nasihat

Penekanan para anbia ini difahami dengan jelas oleh Ibn Kathir. Beliau mentafsirkan ayat ini: “Ertinya, berbuat baiklah ketika menjalani kehidupan ini dan berpegang teguhlah kepada agama ini. Sudah pasti  ALLAH akan menganugerahkan kematian  kepada kalian dalam keadaan Islam kerana seseorang yang meninggal dunia dalam agama yang diyakininya akan dibangkit dalam agama yang dianutinya ketika meninggal dunia.” (Tafsir Ibnu Kathir, jil 1, hlm 186)  Pesan para anbia ini ialah supaya kita hidup dan mati atas jalan Islam.
Kerisauan ini bukan sahaja ketika menjelang kematian, bahkan sewajarnya turut meliputi segenap waktu terutamanya ketika ketiadaan kita. Bagaimanakah agama anak-anak kita ketika mereka bersendirian, sama ada waktu belajar ataupun bekerja?
Pesan Nabi Ibrahim dan Ya’kob bukan untuk anak-anak kecil. Tetapi , mereka ialah anak-anak yang telah dewasa. Maka,  tidak wajar kita berhenti memantau agama anak kita atas alasan  mereka sudah dewasa dan tidak memerlukan nasihat. Agama itu nasihat, maka nasihatilah anak-anak agar berpegang dengan aqidah tanpa jemu biarpun mereka sudah begitu dewasa sebagaimana RasuluLLAH s.a.w bersabda: “ Agama itu nasihat”. (HR Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa majoriti ajaran agama merupakan nasihat. Selanjutnya, Ibn Hajar menyambung: “ Nasihat bagi sesama kaum Muslim adalah dengan menyayangi mereka,melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka,mengajari mereka ilmu yang bermanfaat,menjauhkan pelbagai gangguan daripada mereka, mencintai mereka sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri dan membenci apa-apa yang mereka benci sebagaimana dia membencinya berlaku pada dirinya sendiri.” (Fath al-Bari, jil 1, hlm 138)
Nasihatilah anak-anak dengan mengajarkan mereka aqidah yang sahih, menerangkan kepada mereka perkara-perkara yang membatalkan aqidah, menjelaskan pemikiran musuh Islam yang ingin merosakkan aqidah umat Islam dan juga meluruskan pandangan hidupnya melalui kaca mata aqidah islamiah.

Memantau Agama Anak-Anak

Sewaktu menunaikan umrah di al-Haram, saya berkenalan dengan seorang anak muda dari India. Saya bertanya, mengapa dia menjadi tetamu ALLAH.
“Datuk saya menghantar saya ke sini, sebelum saya bertolak terus ke Amerika untuk menyambung pelajaran.”  Jawabnya panjang.
“Mengapa perlu menunaikan umrah?” saya bertanya lagi.
“Agar iman saya kuat sepanjang berada di Amerika nanti, in shaa ALLAH.” Jawapanya itu disambut diam. Penuh doa kepada ALLAH.
Apabila berjauhan dengan anak yang disayangi, apa yang dirisaukan oleh kita sebagai ibubapa? Tidak cukup biasiswa, tidak cukup makan,huru-hara di Negara tersebut, gempa bumi dan bencana alam? Risaulah   tentang agama mereka sebagaimana datuk anak muda itu. Fikirkan bertapa kuatnya mereka akan memegang bara api ini dalam menempuh cabaran hidup.
Bagaimana dengan solat mereka yang waktunya menguji  iman? Bagaimana agama rakan-rakan mereka?Bagaimana cara mereka beragama ? Adakah peluang mereka menambah ilmu agama di sana, Bagaimanakah sistem sokongan masyarakat Muslim di sana?
Menghantar mereka berjauhan daripada ibubapa memerlukan pedoman. Hadis  ini ialah kerangka pedoman tersebut. Semasa Abdullah bin Abbas membonceng dibelakang Rasulullah s.a.w , Baginda  bersabda yang bermaksud : “wahai anak muda, aku perlu mengajarimu beberapa kalimah. Jagalah ALLAH(mentaati perintahNYA) dan DIA akan menjaga kamu. Peliharalah ALLAH dan DIA akan memeliharamu. Jika engkau brmohon, maka mohonlah kepda ALLAH, Jika engkau mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan ALLAH.”(HR Atirmizi)
Hadis ini mengambarkan  keprihatinan Rasulullah s.a.w terhadap agama Abdullah bin Abbas, seorang anak muda.Rasulullahh s.a.w mengajarnya beberapa perkara penting dalam hidup beragama. Malahan, Baginda menyentuh perkara praktikal untuk diamalkan, sekaligus memberi kesan pada keimanannya. Ingatkan kalimah yang sama pada zuriat kita.

Duka Nabi Nuh a.s Jangan Berulang

Nabi Nuh a.s berjuang dengan dakwah tauhid selama 950 tahun tetapi tidak berjaya membawa walau seorang pun anaknya untuk beriman kepada ALLAH s.w.t . Azab berupa banjir besar yang datang, tetap mahu dilawan.Apabila seruan iman disampaikan, anaknya enggan menerimanya.Enggan beriman bermaksud enggan diselamatkan. Cukup pahit untuk ditelan oleh seorang bapa.
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan Nabi Nuh memanggil anaknya yang berada ditempat yang terpisah dariapadanya: ‘Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau berada bersama-sama orang kafir.’ Anaknya menjawab: “Aku akan berlindung disebuah gunung yang dapat  menyelamatkan aku daripada ditenggelami air.’ Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang dapat berlindung daripada azab ALLAH kecuali orang yang dikasihaniNYA.’ Dan dipisahkan antara kedua-duanya oleh ombak yang besar itu, lalu menjadilah dia daripada orang yang ditenggelamkan.” (Surah Hud 11:42-43)
Setelah kapal berlabuh, Nuh tidak berputus asa untuk memohon keselamatan daripada ALLAH s.w.t untuk anaknya. Namun, permintaan itu ditolak ALLAH, malah ALLAH menafikan status anak tersebut kerana keengganannya beriman.
ALLAH s.w.t berfirman bermaksud : “Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku sendiri dan janjiMu itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.’ ALLAH s.w.t  berfirman yang bermaksud: ‘Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah daripada keluargamu.Sesungguhnya perbuatannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak ketahui. Sebenarnya Aku melarangmu menjadi orang yang jahil.’”(Surah Hud 11:45-46)
Iman memang tidak boleh diwarisi tetapi menjadi kewajipan ibubapa untuk mencorakkan kain putih anaknya. Sebagaimana  Rasululullah s.a.w bersabda yang dinyatakan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “ Tidaklah setiap orang lahir melainkan fitrah, maka ibubapanya yang akan menjadikannya Yahudi, Kristian ataupun Majusi.”(Riwayat al-Bukhari)
Sentiasalah memberi pesan kepada anak-anak seperti pesanan Luqman kepada anaknya menerusi firman ALLAH yang bermaksud: “Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anakku, janganlah kau mempersekutukan ALLAH. Sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar.’”(Surah Luqman31:13)
Moga-moga apabila pesan Luqman ini tersemat pada jiwa anak-anak, maka duka Nabi Nuh a.s tidak berulang dalam sejarah hidup kita. Amin