Fiqh Semasa – Gaya & Psikologi
Penyampaian Dakwah / Tarbiah
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Allah SWT memerintahkan umat Islam menggalas tugas dakwah sebagai kesinambungan risalah Kenabian yang berakhir dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabī’ al-Awwal 11H.

Dakwah sebagai mekanisme penyebaran Islam berperanan menyampaikan Islam daripada satu generasi kepada satu generasi hingga ke akhir zaman.

Allah memuji orang-orang yang berdakwah, sebagai manusia yang berbicara dengan sebaik-baik perbicaraan.
Firman-Nya:

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam!”
[Fussilat 41: 33]

Walau bagaimanapun, dakwah perlu dilakukan dengan cara yang menepati kriterianya. Dakwah diperintahkan oleh Allah agar dilaksanakan dengan hikmah dan pengajaran-pengajaran yang baik.
Firman-Nya:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah serta pengajaran-pengajaran yang baik”
[al-Nahl 16: 125]

Dr. Salāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī mengemukan rumusan yang unik berkenaan pengertian hikmah dalam konteks dakwah. Beliau berpendapat bahawa hikmah itu bermaksud:

“ Perkataan yang sesuai, untuk orang yang sesuai, pada masa yang sesuai, dengan kadar yang sesuai dan menggunakan pendekatan yang sesuai (Al-Khālidī 2007).”

Kesesuaian itu, menuntut seorang pendakwah bukan sahaja memahami Islam yang hendak disampaikan, tetapi juga Muslim yang hendak menerima dakwah tersebut.

Islam yang disampaikan itu, datangnya daripada Allah dan bersifat Rabbani, manakala Muslim, juga non Muslim, yang hendak mengamalkan Islam itu, adalah manusia ciptaan Allah dan bersifat manusiawi.

Atas alasan ini, Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī di dalam karyanya Tsaqāfah al-Dā’iyah menggariskan bahawa salah satu ilmu yang diperlukan oleh seorang Muslim untuk menyempurnakan peranannya sebagai pendakwah adalah al-tsaqāfah al-insāniyyah atau ilmu-ilmu kemanusian.

Beliau menyenaraikan 6 ilmu di bawah kategori ini, iaitu:

1.  ‘Ilm al-nafs (psikologi)
2.  ‘Ilm al-ijtimā’ (sosiologi)
3.  ‘Ilm al-iqtisād (ekonomi)
4.  ‘Ilm al-falsafah (falsafah)
5.  ‘Ilm al-akhlāq (etika)
6.  ‘Ilm al-tārīkh (sejarah) 

Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī menegaskan bahawa penguasaan ilmu ini membantu seorang pendakwah memahami manusia (Al-Qaradhāwi 1996).

Ia bersesuaian dengan penerangan yang diberikan oleh Muhammad Abu al-Fath al-Bayānūnī di dalam bukunya al-Madkhal ilā ‘Ilm al-Da’wah.

Beliau membahagikan metodologi dakwah kepada tiga iaitu:

1.    al-Manhaj al-‘Ātifī (metodologi emosional)
2.    al-Manhaj al-‘Aqlī (metodologi rasional)
3.    al-Manhaj al-Hissi (metodologi praktikal)

Al-Bayānūnī menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan metodologi emosional itu adalah metodologi dakwah yang memberikan fokus kepada hati, untuk menggerakkan perasaan dan kemahuan (Al-Bayānūnī 1995).

Akan bersambung ………
Reaksi: