Bismillahirrahmanirrahim. Assalamulaikum w.b.t.

Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa demokrasi yang menurut Islam sebagaimana yang telah dijalankan oleh negara-negara Islam pada hari ini bukanlah sebagaimana yang dibawakan oleh pihak Barat. Akan tetapi demokrasi yang menurut Islam adalah digunakan dalam sudut politik iaitu dalam memilih pemimpin, konsep menasihati, amar makruf nahi mungkar dan konsep mesyuarat atau syura.

Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat Islam secara menyeluruh mesti melalui pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna :
“Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia, akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Berdasarkan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad Tayyin dan Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah berkenaan dengan hukum mengundi, ia adalah wajib kerana ia merupakan suatu penyaksian.

Sehubungan dengan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :
“Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh dan layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :

“Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”

Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi.

Allah menyuruh manusia memberikan saksi keranaNya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalaq pada ayat ke-2 yang bermaksud :

“Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”

Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak dengan sengaja, ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”

Wallahualam. 
Selamat menunaikan kewajipan anda sebagai mahasiswa.

AHMAD KHIDHIR ISMAIL, PRESIDEN BADAR 14/15

MUSLIM PROFESIONAL PENERAJU UMMAH
PEMILIHAN MPP UKM 2014
Reaksi: